Cabaran regu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah dalam Japan Masters 2023 berakhir hari ini.
Ini selepas cabaran mereka ditamatkan oleh regu tuan rumah, Rena Miyaura dan Ayako Sakuramoto di pentas suku akhir.
Dari segi rekod pertemuan, Pearly-Thinaah memiliki kelebihan kerana pernah menang ke atas regu nombor 14 dunia itu.
Bagaimanapun, set pertama menyaksikan Miyaura-Sakuramoto mendahului pada kedudukan 11-9. Regu Jepun itu membenarkan Pearly-Thinaah mengutip empat mata lagi sebelum meraih kemenangan 21-13.
Set kedua menyaksikan juara Terbuka Switzerland itu semakin selesa di hadapan pada kedudukan 11-6.
Biarpun Pearly-Thinaah berjaya merapatkan jurang, Miyaura dan Sakamoto terus selesa di hadapan sebelum meraih kemenangan straight set 21-18.
Miyaura-Sakamoto kini menunggu pemenang satu lagi aksi suku akhir membabitkan regu China, Zhang Shuxian-Zheng Yu dan regu Taiwan, Lee Chia-Hsin dan Teng Chun-Hsun di pentas separuh akhir.
Kini, fokus Pearly-Thinaah ialah kejohanan China Masters 2023 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan. Mereka bakal berdepan regu Korea Selatan, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong pada pusingan pertama.