Hasrat Ng Tze Yong mencipta kejutan ke atas jaguh nombor satu dunia, Viktor Axelsen dalam pusingan kedua Japan Masters 2023 tidak kesampaian hari ini.
Ini selepas jaguh Denmark itu terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pemain nombor 15 dunia itu dalam pusingan kedua kejohanan.
Set pertama menyaksikan Axelsen mendahului seketika Tze Yong pada kedudukan 11-10. Bagaimanapun, anak jati Johor Bahru, Johor itu berjaya mengejar sebelum memenangi set pertama dengan keputusan 22-20.
Tersentak dengan kejayaan mengejut Tze Yong, Axelsen bangkit pada set kedua. Biarpun pada satu ketika kedua-duanya terikat 8-8, jaguh Denmark itu mula mendominasi perlawanan sebelum menang dengan keputusan 21-11.
Ini memaksa perlawanan diheret ke rubber set bagi menentukan pemenang. Saingan sengit terus diberi Tze Yong kepada Axelsen dengan mereka dipisahkan satu pada kedudukan 11-10.
Bagaimanapun, Axelsen membuktikan kejaguhannya sebagai pemain nombor satu dunia dengan memenangi set ketiga menerusi keputusan 21-18.
Axelsen bakal menanti pemenang antara Jonathan Christie dari Indonesia dengan pemain Taiwan, Su Li-Yang di pentas suku akhir esok.