Ramai peminat badminton Malaysia terkejut apabila gandingan nombor satu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bakal berpisah untuk saingan Japan Open 2026.
Shuttlehard melaporkan ini berdasarkan senarai pemain yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan dan utama untuk acara beregu lelaki kejohanan itu.
Semakan mendapati nama Aaron dan Wooi Yik didaftarkan dengan pasangan beregu yang berbeza. Aaron bakal bergandingan dengan Tee Kai Wun.
Rakan gandingan Kai Wun, Man Wei Chong pula bakal bergandingan dengan Wooi Yik. Tidak diketahui sama ada gandingan baharu ini bersifat sementara atau kekal.
Sekiranya benar gandingan baharu ini merupakan gandingan kekal, ada peminat melihat ini antara usaha jurulatih beregu negara, Herry Iman Pierngadi untuk membangkitkan semula prestasi kedua-dua regu.
Seorang pengguna X bernama Based Katanga membuat pemerhatian itu dengan menjadikan gandingan Indonesia, Shohibul Fikri dan Fajar Alfian sebagai contoh. Fikri dan Fajar mula digandingkan dalam saingan Japan Open 2025.
Sejak itu, kedua-duanya menunjukkan kebangkitan dengan tampil cemerlang di gelanggang. “Japan Open 2025 lalu jadi titik permulaan Fikri-Fajar. Semoga menjadi titik bangkit regu-regu baharu Malaysia juga,” katanya.