Advertising
Japan Open: Regu No. 3 Dunia Sekat Kecemerlangan Pearly Tan-M. Thinaah
UltraSukan
Olympic Malaysia

Hajat beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah untuk mara ke separuh akhir Japan Open 2024 tidak kesampaian.

Ini selepas Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehandalan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2024 dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.

Ad

Selepas berjaya mara ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, pencapaian tersebut membakar semangat beregu nombor 10 dunia itu untuk terus kekal cemerlang.

Ad

Walau bagaimanapaun, Sheng Shu-Tan Ning menjadi penghalang antara Pearly-Thinaah dan peringkat separuh akhir Japan Open 2024. Ini ditambah dengan fakta juara Malaysia Open 2024 itu memiliki rekod tiga kemenangan dari lima perlawanan sebelumnya.

Kali terakhir kedua-dua regu bertemu ialah pusingan pertama Singapore Open 2024. Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehandalan Sheng Shu-Tan Ning yang menang dengan keputusan 21-10, 21-10.

Ad

Set pertama menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit di atas gelanggang untuk mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-duanya terikat pada kedudukan 16-16.

Ad

Beberapa kesilapan yang dilakukan Sheng Shu-Tan Ning memastikan set pertama menjadi milik Pearly-Thinaah dengan keputusan 21-17.

Ad

Set kedua menyaksikan beregu China itu mempamerkan permainan lebih menyerang di atas gelanggang. Ini membolehkan Sheng Shu-Tan Ning mendahului pada kedudukan 11-5.

Meskipun cuba diberi tentangan oleh Pearly-Thinaah, juara Indonesia Masters 2024 itu kekal unggul sebelum meraih kemenangan 21-14. Keadaan ini menyebabkan perlawanan diheret ke set penentuan.

Sheng Shu-Tan Ning terus dominan di set ketiga menerusi permainan agresif mereka. Pada satu ketika, mereka mendahului pada kedudukan 12-5.

Kedudukan regu nombor tiga dunia itu terus kukuh walaupun cuba dikejar Pearly-Thinaah. Pada akhirnya, Sheng Shu-Tan Ning meraih kemenangan 21-10 dalam tempoh lebih sejam.

Kekalahan ini menyaksikan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani sebagai satu-satunya wakil negara dalam saingan Japan Open 2024. Mereka akan menentang sama ada regu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura atau wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana.