JDT kini berpeluang untuk menamatkan badi kekalahan ke atas kelab Jepun setelah kali terakhir mengecapi kemenangan pada tahun 2019 yang lalu.
Syafiq Ahmad muncul wira pasukan untuk menewaskan Kashima Antlers menerusi jaringan tunggal dalam perlawanan terbabit dimana kemenangan itu turut menjadi kemenangan sulung JDT dalam kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Setelah itu, JDT mengalami dua kekalahan berturut-turut berdepan wakil Jepun, Nagoya Grampus pada tahun 2021 dengan jaringan 0-1 dan 1-2.
Saingan ACL musim lalu pula menyaksikan JDT sekali lagi ditempatkan bersama kelab Jepun, Kawasaki Frontale dan pasukan Harimau Selatan itu hampir berjaya mengejutkan kelab Jepun setelah meraih keputusan seri 0-0 digelanggang lawan.
Namun JDT terpaksa menelan kekalahan pahit apabila tewas besar dengan jaringan 0-5 kepada Kawasaki dilaman sendiri pada aksi seterusnya.
JDT sekali lagi bersama Kawasaki Frontale dalam kumpulan I musim ini dan mereka mengalami kekalahan tipis 0-1 pada perlawanan pertama ACL.
Selasa ini JDT akan kembali ke Stadium Kawasaki Todoroki untuk aksi kelima saingan ACL dan mereka hadir dengan misi penting untuk meraih 3 mata berharga.
Kemenangan ini amat penting buat JDT untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dan juga menamatkan badi kekalahan mereka terhadap kelab Jepun.
Harimau Selatan bakal berdepan Kawasaki Frontale pada 28 November ini dan kemudiannya BG Pathum bakal menjadi aksi terakhir JDT untuk saingan kumpulan I.