Nama Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menjadi sebutan media antarabangsa.
Terbaru, kisah kejayaan JDT dikongsikan dalam ruangan sukan akhbar British, The Guardian. Ini selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia ditemu bual wartawan akhbar berkenaan, Sid Lowe.
Legenda Liverpool itu bukan saja berkongsi tentang pencapaian JDT baik di peringkat domestik mahupun di peringkat antarabangsa.
Malah, Garcia turut berharap kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) terus menjadi lebih baik agar dapat bersaing di pentas Asia.
Ini bukan kali pertama kisah kejayaan Harimau Selatan menjadi sebutan media antarabangsa. Sebelum ini, Sporting News dan beIN Sports turut menyiarkan kisah pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Nama JDT dijangka terus mencuri perhatian lebih-lebih lagi dengan pasukan itu semakin menghampiri rekod baru untuk rekod tanpa kalah paling lama di dunia.
JDT ketika ini masih belum tewas dalam 105 perlawanan. Mereka kini hanya memerlukan tiga perlawanan untuk menyamakan rekod dunia iaitu 108 perlawanan yang dipegang ASEC Abidjan dari Ivory Coast, (kini dikenali sebagai ASEC Mimosas).