Wakil tunggal Malaysia di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan reputasi selaku kuasa besar di Asia apabila statistik membuktikan pasukan mampu menyaingi kekuatan jaguh Korea, Ulsan Hyundai.
Perlawanan dramatik yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan skuad bimbingan Tano Solari mencatatkan kemenangan penting 2-0 berdepan Ulsan Hyundai.
Kemenangan itu melonjakkan moral pasukan untuk terus bersaing di pentas tertinggi Asia pada musim ini.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan oleh AFC, JDT berjaya membuktikan kualiti luar biasa untuk menyaingi juara bertahan Liga Korea (K-League) di ACL.
Aksi yang berlangsung sepanjang 96 minit permainan menyaksikan JDT berjaya melakukan 19 percubaan dengan 6 daripadanya tepat ke sasaran.
Skuad bimbingan Tano Solari juga mencatatkan 44.7 peratus penguasaan bola sehingga memaksa Ulsan Hyundai bertahan lebih banyak pada babak kedua permainan.
Tambahan statistik yang dikongsikan oleh laman Sofascore menunjukkan Harimau Selatan memperoleh 13 sepakan percuma, mencipta dua peluang besar, tiga serangan balas dan juga 9 percubaan dalam kotak penalti.
JDT telah merekodkan 365 hantaran dengan ketepatan sebanyak 83 peratus selain menang 29 pertarungan bola di atas padang.
Kemenangan ini juga membantu JDT untuk terikat dengan Ulsan Hyundai dengan 6 mata selepas 4 perlawanan dan berpeluang untuk layak ke pusingan kalah mati.