JDT Pecah Rekod, Buriram United ‘Pening Kepala’
MakanBola
JST/BUFC

Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United berada dalam prestasi yang berbeza menjelang perlawanan separuh akhir ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup 2025/2026.

Saingan ACC Shopee Cup kini kembali lagi dengan dua aksi separuh akhir akan mencuri perhatian para penyokong bola sepak Asia Tenggara melibatkan 4 pasukan gergasi di rantau ini.

Pertembungan antara JDT vs Buriram United sudah pastinya bakal menjadi tumpuan ramai apabila dua pasukan terbaik di ASEAN akan turun berentap bagi merebut tiket final Shopee Cup musim ini.

Prestasi semasa kedua-dua pasukan ketika ini tampak mula menjadi sorotan tatkala JDT terus mengaum di pentas Liga Malaysia sementara Buriram United pula seakan kehilangan rentak.

JDT baru sahaja meraih kemenangan ke-22 dalam saingan Liga Super Malaysia apabila menewaskan KL City 7-0 pada Sabtu lalu sekali gus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini.

Malah, kemenangan besar ini juga menyaksikan JDT melakar rekod baharu di Liga Super bagi jumlah gol terbanyak dalam satu musim dengan catatan 103 jaringan dicatatkan setakat ini.

Berbeza pula dengan Buriram United yang terpaksa akur menelan kekalahan ke-4 dalam saingan Thai League One selepas kalah 1-3 di tangan Port FC di laman lawan Sabtu lalu.

Keputusan itu tampak merisaukan peminat setia Thunder Castle selepas juara Thai League One itu tumpas dua kali berturut-turut dalam tempoh empat hari apabila tumbang 0-3 kepada Rayong.

Secara keseluruhannya, Buriram United hanya mencatatkan dua kemenangan dan empat kekalahan dalam 6 perlawanan terakhir yang diharungi oleh anak-anak didik Mark Jackson ini.

Walau bagaimanapun, prestasi semasa tidak boleh menjadi cerminan keseluruhan sesuatu pasukan dengan JDT masih perlu memberi fokus penuu dalam misi menjulang Malaysia di pentas Shopee Cup.

Aksi separuh akhir pertama antara JDT vs Buriram United bakal diadakan pada Rabu, 6 Mei 2026 di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam.