Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta rekod baharu apabila muncul kelab ke-8 terbaik di Asia.
Skuad Harimau Selatan masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA 2024 terus mengukuhkan langkah dalam kelompok 10 kelab elit di Asia.
Prestasi cemerlang pasukan kendalian Hector Bidoglio diserikan lagi apabila kemas kini terbaru oleh laman Opta Analyst menunjukkan peningkatan mendadak kedudukan Harimau Selatan berbanding kedudukan kali terakhir.
Laman analisis bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia itu menunjukkan Jdt kini mengumpul 77.8 mata sekaligus menyaksikan kedudukan JDT naik ke tangga 8 di Asia ketika ini.
Kemajuan memberangsangkan ini juga menyaksikan JDT naik 8 anak tangga bagi kedudukan ranking kelab di dunia dan berada pada tangga ke-279 dunia berbanding ke-291 sebelum ini.
Kedudukan ini membolehkan JDT mengukuhkan reputasi selaku kelab nombor satu di Asia Tenggara dan Malaysia dengan pesaing terdekat adalah kelab Thailand, Buriram United yang menghuni tangga ke-43 di Asia (567 di dunia).
Pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini turut memintas tangga pasukan gergasi Asia lain seperti Pohang Steelers (9) dan menghampiri kedudukan Ulsan HD (5) dan juga Persepolis (6) di Asia.

JDT menjadi wakil tunggal Malaysia untuk bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bagi musim 2024/25 yang dijadualkan bermula pada bulan September 2024.
Aksi pertama JDT adalah berdepan kelab China, Shanghai Port pada 18 September 2024 di Stadium Bola Sepak Fudong.