Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sah merekrut bekas pemain Selangor, Syed Aizad Daniel.
Perpindahan ini disahkan menerusi satu hantaran video di media sosial rasmi JDT Futsal yang menyaksikan ketibaan Syed Aizad selaku pemain baharu buat pasukan Harimau Selatan itu.
”Syed Aizad Daniel adalah keluarga Harimau Selatan,” umum JDT Futsal.
Di dalam video itu, Syed Aizad yang juga tonggak utama Harimau Malaya dilihat berada di Stadium Tertutup Pasir Gudang sambil menyarung jersi kebanggaan Harimau Selatan.
Terdahulu, Syed Aizad mengucapkan selamat tinggal kepada Selangor setelah menghabiskan 6 tahun bersama Gergasi Merah itu dan memenangi Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019 dan 2022.
Kehadiran Syed Aizad pasti menambah bisa jentera serangan JDT dalam usaha pasukan selatan tanah air itu mempertahan kejuaraan MPFL dan Malaysia Futsal Cup yang dimenangi musim lalu.