JDT Tamatkan Kemarau 7 Tahun
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Selepas kemenangan ke atas gergasi Jepun, Vissel Kobe dalam aksi terakhir ACLE peringkat kumpulan Zon Timur musim ini, Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) akhirnya menamatkan kemarau tujuh tahun tanpa kemenangan ke atas kelab dari Negara Matahari Terbit dalam kempen Liga Juara-Juara Asia.

JDT mula bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia pada tahun 2016 dan menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga, di belakang Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan dan Jiangsu Suning dari China.

Pertemuan sulung Harimau Selatan dengan kelab Jepun dalam saingan elit Asia itu berlaku pada tahun 2017 apabila mereka berdepan Gamba Osaka. Dalam aksi tersebut, wakil Jepun itu mencatat kemenangan meyakinkan 3-0.

Seterusnya pada tahun 2018, JDT bertemu Kashima Antlers sebanyak dua kali. Harimau Selatan berjaya meraih satu kemenangan di laman sendiri, Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, menerusi jaringan minit ke-69 oleh Syafiq Ahmad untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 1-0.

Namun, tempoh dari 2021 hingga 2023 menyaksikan cabaran lebih getir buat JDT apabila mereka bertemu tiga kelab Jepun iaitu Nagoya Grampus, Kawasaki Frontale dan Urawa Red Diamonds dalam tujuh perlawanan. Daripada jumlah tersebut, JDT tewas enam kali dan hanya mencatatkan satu keputusan seri ketika menentang Kawasaki Frontale pada tahun 2022.

Musim ini, JDT sekali lagi dijadualkan bertemu tiga pasukan Jepun, iaitu Machida Zelvia, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe. Daripada tiga aksi tersebut, Harimau Selatan berjaya mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.

JDT mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Machida Zelvia, sebelum tewas 2-1 di laman lawan kepada Sanfrecce Hiroshima.

Namun begitu, pada 17 Februari, Harimau Selatan akhirnya menamatkan penantian tujuh tahun apabila menewaskan Vissel Kobe 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Marcos Guilherme menerusi rembatan padu yang memastikan kemenangan bersejarah buat kelab gergasi selatan tanah air itu.

Kini, Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) sedang menantikan keputusan penuh peringkat kumpulan Zon Timur musim ini bagi menentukan siapakah lawan yang bakal dihadapi pada pusingan 16 terbaik.

Kedudukan akhir kumpulan akan menjadi penentu laluan seterusnya buat Harimau Selatan dalam usaha meneruskan kemaraan di pentas ACLE, sekali gus mengintai peluang untuk melakar satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat Asia.