Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mengakui gerun dengan jentera tengah yang dimiliki lawan mereka, Portugal menjelang aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia.
Croatia dilihat memiliki kelebihan kerana jentera tengah mereka diterajui jeneral tengah veteran, Luka Modric. Meskipun begitu, Portugal juga memiliki jentera tengah berkualiti diketuai pemain perancang Manchester United, Bruno Fernandes.
Fernandes semakin berbisa selepas mencipta rekod bantuan gol terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang zaman pada musim lalu.
Selain beliau, dua tonggak Paris Saint-Germain (PSG), Joao Neves dan Vitinha menjadi penggerak kempen cemerlang pasukan itu termasuk bergelar juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim lalu.
Justeru, tidak hairanlah Dalic melihat penguasaan bahagian tengah sebagai kunci buat Croatia meraih kemenangan dalam aksi tersebut. Jika jentera tengah Portugal dibiarkan menguasai padang, Croatia bakal berdepan tugas sukar untuk mara ke pusingan seterusnya.
“(Portugal) pasukan yang mahu menguasai bola sepanjang masa,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.
“Pasukan itu hanya memiliki sedikit kelemahan. Dan boleh mencetuskan risiko dan bahaya (kepada Croatia) sepanjang masa.”
Sekiranya berjaya menyingkirkan Portugal, Croatia bakal bertemu sama ada Sepanyol atau Austria di pusingan 16 pasukan terbaik. Croatia berharap untuk mengulangi pencapaian mara ke peringkat separuh akhir yang dicapai pada edisi 2022.