Aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA bakal menyaksikan Jepun akan berdepan juara 5 kali, Brazil manakalla Belanda bakal menghadapi cabaran Maghribi.
Saingan Piala Dunia 2026 sedang rancak berlangsung dengan beberapa pasukan telah pun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati terlebih dahulu selepas menghuni kedudukan terbaik dalam kumpulan masing-masing.
Fokus peminat tentunya terarah kepada juara kumpulan C, Brazil yang berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam 3 perlawanan sekali gus menepati ramalan untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
Menanti Brazil selaku juara kumpulan C adalah naib juara kumpulan F iaitu jaguh Asia, Jepun yang baru sahaja menamatkan aksi di peringkat kumpulan dengan keputusan seri 1-1 menentang Sweden pada awal pagi Jumaat.
Perlawanan antara Brazil vs Jepun ini pastinya menjadi tumpuan peminat terutamanya penyokong bola sepak Asia untuk menonton aksi yang akan ditampilkan oleh skuad Samurai Biru apabila bertemu dengan juara dunia 5 kali itu.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada bulan Oktober 2025 yang menyaksikan Jepun menumpaskan Brazil 3-2 di Stadium Ajinomoto, Tokyo hasil jaringan Ayase Ueda, Takumi Minamino dan Keito Nakamura.
Satu lagi perlawanan tumpuan di pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 ini membabitkan Belanda vs Maghribi dengan kedua-dua pasukan kini berada pada tahap terbaik selain kedudukan ranking FIFA yang tidak terlalu jauh.
Maghribi yang menghuni ranking ke-7 dunia pastinya mahu mengulangi magis seperti edisi Piala Dunia lalu meskipun ramai penyokong dijangka meletakkan Belanda sebagai pasukan pilihan untuk memenangi aksi kali ini.
Belanda yang bergelar juara kumpulan F baru sahaja menumpaskan Tunisia 3-1 dalam aksi terakhir, sekali gus memberi bayangan satu aksi sengit bakal berlaku ketika mana Maghribi sebagai naib juara kumpulan C masih belum tewas juga.
Aksi Brazil vs Jepun bakal berlangsung pada 30 Jun hadapan jam 1 pagi waktu Malaysia sementara perlawanan antara Belanda vs Maghribi akan diadakan pada hari yang sama jam 9 pagi.