Jepun terus membuktikan bahawa mereka bukan pasukan calang-calang apabila mengikat Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F.
Anak buah Hajime Moriyasu sedar mereka hanya perlu menang atau seri jika ingin mengiringi Belanda ke pusingan 32 pasukan terbaik. Selain memburu kemenangan, Sweden juga mahu bangkit selepas dibelasah Belanda dalam aksi sebelumnya.
Ayase Ueda menjadi taruhan Jepun di bahagian serangan. Gandingan Viktor Gyokeres dan Alexander Isak menjadi pilihan Graham Potter untuk merobek gawang pasukan gergasi Asia itu.
Sebaik perlawanan bermula, Sweden mula mencari ruang untuk menembusi gawang Jepun yang dikawal penjaga gol tinggi lampai Parma, Zion Suzuki.
Situasi ini mendorong Moriyasu membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Shogo Taniguchi sebagai pengganti kapten, Ko Itakura pada minit ke-39.
Pertukaran tersebut menyaksikan Jepun mula mengancam gawang Sweden yang dikawal penjaga gol Derby County, Jacob Zetterstrom.
Zetterstrom pantas menafikan percubaan Keito Nakamura pada minit akhir babak pertama bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Jepun terus menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan di Stadium AT&T.
Gol yang dicari Samurai Biru akhirnya tiba pada minit ke-56. Selepas bertukar hantaran dengan Ueda, Ritsu Doan membuat hantaran jauh yang disudahkan penyerang Celtic, Daezen Maeda.
Keceriaan kem Jepun hanya bertahan selama enam minit. Pemain sayap Newcastle United, Anthony Elanga kembali menceriakan kem Sweden dengan meledakkan gol penyamaan melepasi Suzuki.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun seri, itu sudah cukup untuk Jepun mengiringi Belanda ke pusingan seterusnya sebagai naib juara Kumpulan F.
Sweden juga layak ke pusingan seterusnya kerana mereka menduduki tangga teratas untuk pasukan ketiga kumpulan terbaik.
Sofascore memilih Daezen Maeda sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8. Beliau mengatasi Elanga dengan kelebihan 0.1 mata.