Piala Dunia FIFA: Belanda Beri Sweden Rasai Mimpi Ngeri
MakanBola
Ons Oranje

Kemenangan besar buat Belanda dalam aksi Piala Dunia FIFA selepas membelasah Sweden pada awal pagi Ahad.

Selepas seri bertemu Jepun sebelum ini, Belanda seakan melepaskan geram apabila meledak empat jaringan dalam tempoh 55 minit untuk merekodkan kemenangan 5-1 ke atas Sweden dan mencerahkan laluan ke pusingan kalah mati.

Belanda melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama apabila Brian Brobbey digantikan dengan penjaring gol aksi lalu, Crysencio Summerville manakala Alexander Isak dan Viktor Gyokeres mengemudi jentera serangan Sweden.

Kepercayaan diberikan oleh jurulatih, Ronald Koeman dibalas dengan baik oleh Brian Brobbey apabila menjaringkan dua gol penting pada minit ke-6 dan 17 bagi membolehkan Belanda memimpin permainan 2-0 di babak yang pertama.

Kembali dari bilik persalinan, Cody Gakpo menambah duka buat Sweden dengan dua gol dalam tempoh 7 minit untuk menjarakkan kedudukan dan memberi kelebihan besar serta selesa kepada naib juara Piala Dunia edisi 2010 itu.

Aksi rancak seketika apabila Anthony Elanga cemerlang menjaringkan gol sulung Sweden pada minit ke-59 selepas pemain sayap Manchester United itu bijak menewaskan penjaga gawang, Bart Verbruggen dalam situasi satu lawan satu.

Pemain gantian, Crysencio Summerville melengkapkan kemenangan besar untuk Belanda mengutip 3 mata pertama hasil jaringan ke-5 pada minit ke-88 setelah rembatan jarak jauh bintang West Ham United ini terus menerjah jaringan

Tempoh 90 minit permainan di Houston ini berakhir dengan keputusan 5-1 memihak Belanda, sekaligus memadam momentum Sweden yang sebelum ini mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Tunisia.

Aksi terakhir kumpulan F akan menyaksikan Belanda turun menentang pasukan tercorot, Tunisia manakala Sweden bakal menghadapi cabaran negara Asia, Jepun dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan pada 26 Jun hadapan.