Jepun dan Belanda berkongsi satu mata dalam aksi sengit Piala Dunia FIFA pada awal pagi Isnin.
Perlawanan pertama kumpulan F ini menjadi tumpuan ramai selepas finalis edisi 2010, Belanda terpaksa akur terikat seri 2-2 berdepan pasukan gergasi Asia, Jepun meskipun wakil Eropah itu sempat mendahului dua kali dalam aksi ini.
Trio utama Liverpool, Virgil van Dijk, Cody Gakpo dan Ryan Gravenberch membarisi kesebelasan utama Belanda sementara Jepun pula menampilkan pemain-pemain handalan di Eropah seperti Takefuso Kubo, Hiroki Ito serta Zion Suzuki.
Seawal minit ke-3, Belanda hampir di hadapan menerusi Donyell Malen yang melepaskan satu sepakan kencang dari dalam kotak penalti, namun percubaan pemain AS Roma itu ditepis tenang oleh Zion Suzuki di pintu gawang Jepun.
Aksi seimbang di sepanjang babak pertama dengan Belanda dilihat lebih menguasai perlawanan tatkala percubaan tersasar oleh bek Jepun, Keito Nakamura nyaris-nyaris memberikan jaringan pendahuluan kepada jaguh Asia itu.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai di awal babak kedua apabila tandukan bebas kapten Belanda, Virgil van Dijk berjaya meletakkan wakil Eropah itu di hadapan ketika mana Zion Suzuki sudah pun tertewas pada minit ke-51 permainan.
Selang 6 minit kemudian, Jepun bangkit mengikat kedudukan 1-1 selepas rembatan deras Keito Nakamura tertampan mengenai kaki Daizen Maeda dan menembusi jaring tanpa sempat diselamatkan oleh Bart Verbruggen di pintu gol.
Belanda kembali memimpin permainan pada minit ke-64 hasil gol cantik daripada Crysencio Summerville yang melepaskan percubaan kaki kanan yang menuju tepat ke penjuru gawang Jepun untuk jaringan kedua untuk The Orange.
Hasrat Belanda mengutip 3 mata bagaimanapun tidak kesampaian selepas Koki Ogawa menanduk masuk jaringan penyamaaan di minit ke-89 untuk bangkit mengikat kedudukan buat kali yang kedua dalam tempoh 90 minit permainan.
Pertarungan sengit di Stadium AT&T, USA ini menyaksikan Jepun dan Belanda terikat seri 2-2 untuk berkongsi satu mata selepas perlawanan pertama.
Aksi seterusnya di kumpulan F bakal menemukan Jepun dan juga Tunisia manakala Belanda akan berdepan Sweden dengan kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung pada 21 Jun hadapan waktu Malaysia.