Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Sepanyol mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 walaupun tewas mengejut 2-1 di tangan Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan E hari ini. Dengan kemenangan mengejut ini, Jepun muncul juara kumpulan diikuti oleh Sepanyol.

Jepun sudah mula mengasak Sepanyol sebaik sepak mula. Kesilapan Sergio Busquets menghantar bola segera direbut Jepun sekitar minit kelapan di mana mereka saling bertukar hantaran sebelum Juny’a Ito menyepak bola ke tepi gawang yang dikawal Unai Simon.

Alvaro Morata Sepanyol Jepun Piala Dunia 2022 Ben Jacobs Jepun Dan Sepanyol Mara Ke Pusingan Kalah Mati Piala Dunia
Alvaro Morata menanduk masuk bola ke gawang Jepun pada minit ke-12. Gambar: Ben Jacobs

Tersentak, La Roja mengasak Samurai Biru dan mendahului pada minit ke-12 menerusi Alvaro Morata. Nico Williams menghantar bola kepada Cesar Azpilicueta sebelum pemain pertahanan Chelsea itu menghantar bola dalam kotak penalti Jepun. Penyerang Atletico Madrid, Alvaro Morata mudah menanduk bola menewaskan penjaga gol Shuichi Gonda.

Advertisements

Sepanyol terus mencari peluang menambah gol. Morata sekali lagi menguji kecekapan Gonda menerusi satu rembatan selepas mendapat umpanan Gavi pada minit ke-23. Bagaimanapun, sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol Shimizu S-Pulse itu. La Roja terus mendominasi permainan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Ritsu Doan girang meraikan gol penyamaan Jepun pada minit ke-48. Gambar: OptaJoe

Selepas rehat, Jepun bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan jarak jauh Ritsu Doan pada minit ke-48. Kegagalan Alejandro Balde mengawal bola dirompak oleh Doan sebelum melepaskan rembatan jarak jauh menewaskan Simon. Seminit selepas itu, Jepun mendahului La Roja menerusi tandukan jarak dekat Ao Tanaka selepas menerima hantaran pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma.

Sepanyol mendominasi bola tetapi berdepan kesukaran menembusi pertahanan Jepun yang kental. Peluang terbaik La Roja hadir menerusi Dani Olmo pada minit ke-89 tetapi percubaan pemain sayap RB Leipzig itu mudah diselamatkan Gonda. Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Dengan keputusan ini, Sepanyol mengiringi Jepun sebagai naib juara Kumpulan E. Samurai Biru selaku juara kumpulan bakal berdepan Croatia dengan La Roja bakal menentang Maghribi. Jepun pastinya mahu mencipta sejarah melangkah ke peringkat suku akhir bagi mengatasi pencapaian pusingan kalah mati yang direkodkan pada Piala Dunia 2002. Manakala Sepanyol pula pastinya tidak mahu mengalami nasib sama seperti Belgium jika mahu mara ke suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram