Jepun Kenduri Gol Tumpaskan Indonesia
MakanBola
AFC

Jepun menutup kempen kelayakan Piala Dunia 2026 mereka dengan kemenangan apabila membelasah Indonesia di Osaka.

Samurai Biru berharap dapat bangkit selepas tewas kepada Australia di Perth. Tim Garuda pula memburu satu lagi keputusan positif selepas menewaskan China di Gelora Bung Karno.

Pemain sayap Real Sociedad, Takefusa Kubo menggalas peranan sebagai kapten Jepun. Jay Idzes menjadi sandaran jurulatih Indonesia, Patrick Kluivert untuk menyekat serangan tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan Jepun berusaha mencari gol awal menerusi Kubo, Shuto Machino dan pemain tengah Crystal Palace, Daichi Kamada.

Gol yang dicari Samurai Biru tiba pada minit ke-15. Kamada tenang menewaskan penjaga gol berdarah Itali-Indonesia, Emil Audero untuk meletakkan Jepun di hadapan.

Empat minit kemudian, giliran Kubo pula mencetak nama sebagai penjaring. Bekas pemain remaja Real Madrid itu menyudahkan hantaran Machino melepasi Audero.

Indonesia kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal apabila Yakub Sayuri tidak dapat meneruskan permainan pada minit ke-27. Marselino Ferdinan masuk menggantikan tempatnya.

Jepun makin selesa mendahului menerusi Kamada pada minit akhir babak pertama. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Jepun memasukkan Keito Nakamura menggantikan Kamada bagi menambah bisa jentera serangan.

Hasilnya, Ryoya Morishita merekodkan gol pertamanya di peringkat antarabangsa pada minit ke-55. Tiga minit selepas itu, Machino memastikan Jepun mendahului 5-0.

Situasi ini mendorong Kluivert memasukkan pemain baru Buriram United, Shayne Pattynama, Ricky Kambuaya dan Stefano Lilipaly untuk kembali memperkemas jentera pasukan itu.

Samurai Biru terus memberi tekanan ke atas Tim Garuda. Hasilnya, pemain gantian, Mao Hosoya meledakkan gol keenam pada minit ke-80.

Keputusan 6-0 ini menyaksikan Jepun menutup kempen kelayakan selaku juara Kumpulan C. Indonesia pula mara ke pusingan keempat kelayakan.

Kini, tumpuan bakal beralih kepada Australia dan Arab Saudi untuk persaingan merebut slot naib juara kumpulan. Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Jeddah pada awal pagi 11 Jun.

Sofascore memilih Kubo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.7. Beliau jauh meninggalkan Machino dan Kamada yang masing-masing meraih 9.0 dan 8.9 mata.