Jepun Laung Amaran Kepada Brazil
MakanBola
Japan FA

Jepun memberi amaran kepada Brazil bahawa mereka bukan lawan mudah bila bertemu di pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia 2026.

Hal ini dinyatakan jurulatih Samurai Biru, Hajime Moriyasu apabila ditanya tentang prospek menentang juara Piala Dunia lima kali itu.

Meskipun Brazil dilihat pasukan pilihan, Moriyasu percaya barisan anak buahnya tidak gentar menentang anak buah Carlo Ancelotti itu. Keyakinan itu bersandarkan kepada kejayaan mereka mengejutkan Brazil dalam aksi persahabatan pada Oktober tahun lalu.

“Kali terakhir (kita bertemu), kita buktikan kepada Brazil bahawa kita bukan lawan mudah. Ini satu kemajuan yang hebat buat kita.

“Brazil antara pasukan terhebat di dunia dan kita amat menghormati mereka. Tapi dalam perlawanan, anda tidak tahu apa akan berlaku.

“Kita juga ada peluang untuk menang, jadi saya nak kita buat persediaan teratur dan mencabar Brazil,” katanya seperti dilaporkan The Japan Times.

Jepun layak ke pusingan 32 pasukan terbaik sebagai naib juara Kumpulan F. Selain berjaya mengikat Belanda dan Sweden, Samurai Biru turut membelasah Tunisia 4-0.