Jika Thailand Menang, Harimau Malaya Perlu Terima Kasih
MakanBola
Changsuek

Pasukan kebangsaan Thailand berpeluang untuk membantu Malaysia mendaki ranking FIFA lebih tinggi.

Baru-baru ini, Harimau Malaya telah mencatatkan keputusan sensasi selepas mengikat pasukan ke-72 dunia, Cape Verde dengan keputusan 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Anak buah Peter Cklamovski berdepan satu lagi ujian getir menentang lawan sama bagi satu aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun ini.

Skuad negara berpeluang untuk mengutip tambahan +6.98 mata FIFA untuk melonjak ke kelompok 120 terbaik dunia dan menghampiri pasukan Asia Tenggara lain seperti Indonesia (122).

Thailand kendalian Masatada Ishii bagaimanapun berpeluang untuk membantu pasukan negara selepas bakal bertemu pasukan ke-127 dunia, India pada satu aksi persahabatan FIFA Tier 1, 4 Jun ini.

Kemenangan Thailand yang menghuni tangga ke-99 dunia bakal menambah +4.03 mata untuk mengumpul 1238.34 mata manakala India bakal kehilangan mata penting dan mencatatkan penurunan ranking FIFA.

Malaysia yang bakal memperoleh tambahan +6.98 mata FIFA (1131.55) sekiranya menewaskan Cape Verde pada 3 Jun ini bakal memintas India di tangga 127 dunia dengan 1128 mata.

Tambahan mata sebesar +13.92 lagi menanti pasukan kebangsaan sekiranya berjaya mengatasi Vietnam di Bukit Jalil pada 10 Jun ini.