Bergson Pecah Rekod, Harimau Malaya Dapat Untung
MakanBola
FAM/JST

Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva melakar rekod bersejarah dan menguntungkan Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Brazil itu terus menjadi sandaran Harimau Selatan untuk merobek gawang lawan memasuki musim keempat bersama jaguh Liga Super itu.

JDT kini terus mendominasi saingan domestik apabila berjaya merangkul kesemua piala yang dimenangi buat musim ketiga berturut-turut.

Tonggak berusia 34 tahun itu mencatatkan satu lagi lembaran sejarah baharu dalam saingan Liga Malaysia apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman.

“Tahukah anda Bergson Da Silva berjaya muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dengan 32 jaringan ketika musim 2024-25 untuk melengkapkan 44 jaringan dalam semua pertandingan musim ini. 

Bergson juga mencatatkan sejarah selepas muncul pemain pertama yang merekodkan jaringan pada aksi Piala Malaysia selama tiga edisi.

“Pemain kelahiran Brazil itu juga muncul pemain JDT pertama menjaringkan gol dalam tiga perlawanan akhir Piala Malaysia berturut-turut dari musim 2022, 2023 dan 2024-25,” ujar laman Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor telah memaklumkan bahawa penyerang elit JDT ini bakal menjadi salah satu solusi jangka pendek buat Harimau Malaya.

“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi 5 tahun di Malaysia. Hidalgo juga sebagai pelan jangka panjang dengan pemain lain yang ada.

“Pemain JDT semuanya sudah bersedia. Jurulatih baru dan Pengarah Sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super dan luar negara. 

“Ini tidak menjadi mudah, ia memerlukan masa tetapi perlu bermuka dari sekarang termasuklah pelan untuk jangka panjang,” ujar DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman X.