Jodoh pemain muda Yokohama SCC, Luqman Hakim Shamsudin di Jepun bakal berakhir.
Tonggak berusia 22 tahun itu menyertai pasukan Divisyen 3 Jepun itu pada awal tahun ini dari kelab Belgium, KV Kortrijk.
Beliau bagaimanapun berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat terutamanya dalam kesebelasan utama pasukan.
Luqman kini kembali seketika di Malaysia dan memberitahu bahawa beliau bakal menamatkan perjalanan di Jepun dan kembali ke kelab asalnya di Belgium.
“Saya sekarang ini beraksi di Yokohama SCC secara pinjaman dan selepas habis ni saya akan pulang ke Belgium bersama KV Kortrijk.
Luqman juga menjelaskan bahawa kontraknya di Belgium bakal tamat pertengahan tahun hadapan namun masih belum membuat keputusan.
“Kontrak saya akan tamat di Belgium bulan 5 tahun 2025. InsyaAllah, kita tunggu rezeki mana yang sampai,” jelasnya ketika menjalani sesi latihan sendirian di Hitfat.
Menurut laman Transfermarkt, kontrak Luqman Hakim bersama Yokohama SCC bakal tamat pada Disember ini dan pulang ke pangkuan kelabnya.
Beliau telah melakukan 9 penampilan bersama kelab J3 League itu dengan kali terakhir adalah ketika menentang Imabari pada 12 Oktober lalu.
Anak jati Kelantan ini dilihat berada di Malaysia sejak awal November lalu sungguhpun aksi Yokohama SCC masih lagi berjalan.