Selangor FC mengumumkan perpisahan dengan pemain tengah Jordan, Noor Al-Rawabdeh selepas tiga musim mencipta kenangan bersama skuad The Red Giants.
Pemain yang cukup sinonim dengan gelaran ‘The Engineer’ itu meninggalkan Selangor sebagai antara tonggak penting yang pernah menyarung jersi merah kuning sejak menyertai pasukan pada musim 2023.
Sepanjang tempoh bersama Selangor FC, Noor menjadi nadi utama di bahagian tengah menerusi ketenangan ketika mengawal permainan, kebijaksanaan membaca rentak perlawanan serta karakter kepimpinan yang tinggi di dalam dan luar padang.
Pada musim sulungnya bersama Selangor, pemain berusia 28 tahun itu terus memberi impak apabila meledak lima gol dalam 22 penampilan Liga Super Malaysia, sekali gus membantu pasukan menamatkan saingan di tempat kedua dan meraih tiket ke AFC Champions League Two.
Secara keseluruhan, Noor merekodkan 84 penampilan bersama Selangor FC dengan jumlah 5,874 minit permainan serta menyumbang sembilan gol dan 11 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Antara detik paling diingati melibatkan Noor hadir ketika aksi separuh akhir Piala FA 2024/25 menentang Terengganu FC apabila beliau tetap meneruskan permainan walaupun mengalami kecederaan kepala yang memerlukan jahitan.
Kembali ke padang pada babak kedua dengan kepala berbalut, Noor kemudian muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan penting buat Selangor dalam aksi penuh dramatik tersebut.
Bagaimanapun, perjalanan Noor Ak-Rawabdeh bersama The Red Giants selepas itu diuji apabila beliau mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang menyaksikan musimnya terpaksa berakhir lebih awal.
Namun, disiplin tinggi serta komitmen sepanjang proses pemulihan membolehkan Noor kembali beraksi lebih awal sekitar Jun 2025 sebelum turut membantu Jordan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Di pentas antarabangsa, kemajuan Noor bersama Selangor turut seiring dengan kebangkitan Jordan apabila beliau menjadi sebahagian daripada skuad yang mara ke final Piala Asia 2023 sebelum mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026.
Selangor FC menyifatkan Noor sebagai pemain yang bukan sahaja penting di atas padang, malah menjadi contoh kepada pemain muda menerusi sikap profesional, ketenangan dan dedikasi sepanjang bersama kelab.
The Red Giants turut merakamkan penghargaan kepada Noor Al-Rawabdeh atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan sepanjang tiga musim bersama pasukan.
Walaupun jodoh Selangor dan Noor Al-Rawabdeh kini berakhir, legasinya sebagai antara pemain tengah terbaik yang pernah memakai jersi merah kuning akan terus dikenang oleh keluarga besar The Red Giants.