Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Ayub mahu penjelasan lanjut daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski tentang kenyataan beliau baru-baru ini.
Sebelum ini, Peter Cklamovski pernah mengeluarkan sebuah kenyataan mengenai usaha pengkhianatan yang cuba dibuat oleh sesetengah pihak bagi mengganggu persiapan pasukan Harimau Malaya.
”Ada beberapa isu dalaman berlaku, elemen pengkhianatan, politik serta halangan dalaman yang kita hadapi setiap hari,” katanya selepas aksi menentang Vietnam lalu
“Sekiranya kita tidak menang malam ini (lawan Vietnam), mereka ‘menyerang’ kami.
“Mereka akan mencari TMJ (DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor), mereka bakal ‘menyerang’ saya kerana menganggap saya jurulatih yang teruk.”
“Mereka juga akan mengejar para pemain disebabkan oleh keputusan perlawanam ini.”
“Tetapi sekarang (oleh kerana kita menang 4-0) mereka akan jadi kawan baik kita dan bakal berada di sebelah saya.”
Oleh itu, Presiden FAM, Datuk Seri Joehari Ayub menegaskan pihak beliau tidak pasti mengenai maksud sebenar di sebalik kenyataan Peter Cklamovski yang diilihat bagai suatu bentuk spekulasi.
Beliau juga memberi jaminan penuh bahawa pihak FAM selalu ada dan menyokong setiap usaha yang direncana oleh skuad kebangsaan dan berharap penjelasan lanjut dari Cklamovski tentang kenyataan itu.
”Tentang (kenyataan) itu, kita memang tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Peter Cklamovski,” jelas Joehari Ayub di sidang media pada Isnin.
”Saya rasa perkara ini adalah lebih baik ditanya kepada Peter Cklamovski sendiri apa yang dimaksudkan tetapi kami dalam FAM memang bagi sepenuh 100% sokongan.”
”Sebagai Presiden, saya pasti bahawa sokongan daripada FAM kepada Harimau Malaya masih sama.”
”Apa yang dikatakan oleh Peter (Cklamovski) itu adalah satu bentuk spekulasi dan saya rasa untuk berlaku adil, kita perlu tanya beliau sendiri untuk penjelasan lebih lanjut.”