Pengendali Malaysia, Peter Cklamovski menyifatkan kemenangan ke atas Vietnam cukup bermakna.
Ini kerana kemenangan ini menunjukkan revolusi Harimau Malaya yang digerakkan sejak akhir tahun 2024 sudah mula menunjukkan hasilnya.
Cklamovski turut melihat kejayaan ini menutup terus mulut sesetengah pihak yang tidak mahu melihat Harimau Malaya berjaya di peringkat antarabangsa.
“Ada beberapa perkara dalaman (yang berlaku), ada elemen pengkhianatan, politik dan halangan dalaman yang kita hadapi setiap hari,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Jika kita tidak menang malam ini (semalam), mereka akan berpaling dan mengejar kita. Mereka akan kejar TMJ (DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor), mereka akan kejar saya kerana saya jurulatih yang teruk.
“Mereka akan kejar pemain disebabkan keputusan perlawanan. Tapi sekarang mereka akan jadi kawan baik kita, mereka akan berada di sebelah saya. Itu satu perkara yang bagus kerana kita bersatu sebagai sebuah negara.”
Malaysia membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools mencetak nama sebagai penjaring.
Harimau Malaya kini mengalihkan fokus kepada aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 Oktober ini.