Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley bersedia membantu sekiranya Azizulhasni mahu kembali turun beraksi di velodrom.
Azizulhasni sebelum ini mengumumkan bahawa Olimpik Paris 2024 bakal menjadi temasya yang ke-5 dan terakhir buat beliau yang kini sudah menginjak ke usia 36 tahun.
Oleh itu, pelumba negara ini mahu menutup karier beliau dengan menghadiahkan pingat emas buat negara, namun impian itu musnah setelah Azizulhasni tersingkir dalam kedua-dua acara.
Ini membuatkan ramai peminat sedih dan berharap The Pocket Rocket Man dapat menimbang semula keputusan beliau untuk bersara sekaligus berjuang dalam satu lagi edisi Olimpik di Los Angeles 2028.
Menurut John Beasley, keputusan mengenai persaraan berada di tangan Azizulhasni dan bersedia membantu jika khidmatnya diperlukan.
“Saya bermula dengannya (Azizulhasni) sejak permulaan kariernya dan saya menamatkannya pada ketika kita fikir ia merupakan penamat kariernya,” katanya menurut Astro Arena.
“Tetapi ini mungkin bukan penamatnya. Sekiranya beliau memilih untuk keluar daripada persaraan, sudah tentu saya akan sentiasa berada di samping beliau.
“Peranan saya di sini adalah untuk menyokong semua yang berada di dalam program dan saya menganggapnya seperti anak saya dan sudah pasti saya akan melakukan segalanya untuk membantunya.”
Sehingga kini, Azizulhasni masih belum memberi sebarang jawapan mengenai masa hadapan beliau bagi memberi tumpuan sepenuh masa bersama keluarga.