Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebak apabila membicarakan mengenai masa hadapannya bersama pasukan Malaysia.
Azizulhasni yang diletakkan sebagai prospek negara untuk membawa pulang pingat emas di Olimpik Paris tempoh hari bagaimanapun terpaksa akur disingkirkan dalam acara keirin.
Keputusan yang dibuat oleh pihak penganjur tersebut sekaligus mengakhiri perjalanan Azizulhasni di temasya tersebut memandangkan edisi di Paris ini menjadi Olimpik yang terakhir buatnya.
Ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Azizulhasni nyata sebak dan tidak dapat mengambarkan perasaan setelah berkorban banyak perkara demi sukan dan negara.
”Saya tak tahu perasaan itu nak digambarkan seperti apa, kita sebagai atlet elit ini, kita makan, tidur dan hidup semua untuk sukan serta negara,” komen beliau kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Tambah beliau lagi, keluarga turut diletakkan sebagai keutamaan kedua demi komitmen latihan persediaan ke Olimpik dan beliau tidak mempunyai jawapan mengenai masa hadapannya lagi.
”Bahkan saya sendiri pun meletakkan keluarga nombor dua. Apa-apa memang sukan dahulu, saya cuti pun saya masih lagi berlatih kerana memikirkan Olimpik ini.”
”Saya tak boleh nak memberi komen apa akan berlaku di masa hadapan,” katanya sambil menahan sebak.
Sepanjang lima penampilan beliau di temasya Olimpik, The Pocket Rocket Man ini telah menyumbang 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa buat kontinjen negara dalam acara keirin.