Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berpandangan Johor memiliki potensi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada masa hadapan jika diberi persiapan rapi, namun menegaskan Malaysia perlu lupakan sahaja untuk menganjurkan kejohanan itu.
Baginda menjelaskan bahawa Johor memiliki asas ekonomi dan kemudahan sukan yang baik, termasuk stadium bertaraf tinggi yang sebelum ini pernah menjadi lokasi penganjuran kejohanan antarabangsa seperti World Cup Influencer 2025, namun masih memerlukan penambahbaikan sebelum boleh bercakap mengenai Piala Dunia sebenar.
“Kemungkinan (anjur Piala Dunia) di Johor, insya-Allah, kalau dengan hasil ekonomi yang ada, kita boleh memperbaiki stadium-stadium. Tetapi, saya rasa buat masa ini belum lagi,” kata Tunku Ismail.
Dalam masa sama, baginda menegaskan bahawa isu asas melibatkan keadaan padang dan penyelenggaraan stadium masih menjadi penghalang utama untuk Malaysia bercita-cita menjadi tuan rumah Piala Dunia.
“(Anjur Piala Dunia) dalam Malaysia, saya boleh katakan, lupakan sajalah,” tegas Tunku Ismail ketika hadir ke program Orang Muda Johor di Muar pada Sabtu.
“Kenapa saya cakap lupakan? kerana kalau 13 tahun saya suruh tukar rumput pun sampai sekarang belum tukar rumput. Lepas itu, boleh berangan pula nak jadi tuan rumah World Cup. Baik lupakan sajalah.”
Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan mengenai kemampuan negara seperti Qatar yang pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 walaupun bersaiz jauh lebih kecil berbanding Malaysia.
Dalam masa sama, Johor masih dilihat mempunyai potensi besar sekiranya pembangunan sukan, stadium dan padang terus diperkasakan secara menyeluruh sebagai asas utama penganjuran bertaraf dunia.
Usaha berterusan juga dilihat penting bagi memastikan semua stadium di negeri itu mencapai standard serta piawaian antarabangsa, sekali gus mengukuhkan keupayaan Johor di pentas global pada masa akan datang.