Johor bakal menggegarkan arena bola sepak dunia apabila bakal menganjurkan Piala Dunia Pempengaruh (Influencer World Cup) 2025.
Kejohanan yang dianjurkan buat julung kalinya telah disahkan oleh laman Johor Southern Tigers menerusi satu perkongsian oleh laman rasmi kejohanan itu.
Ia dilabel sebagai salah satu kejohanan terbesar untuk pempengaruh di serata dunia mengambil bahagian kali ini.
“Kejohanan terbesar buat pempengaruh di dunia bakal berlaku di Malaysia pada bulan September ini,” ujar laman Influencers World Cup.
Terdapat 8 negara terkemuka di dunia bakal terlibat termasuklah Argentina, Sepanyol, Perancis, Mexico, England, Chile, Colombia dan Malaysia.
Bukan itu sahaja, kejohanan ini bakal dimainkan dengan format 11 vs 11 selain bertujuan untuk mengeratkan dunia bola sepak dan juga sosial media yang berkembang pesat ketika ini.
Kejohanan ini dijangka bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim sesuai dengan paparan stadium yang terpampang pada muka hadapan video pengenalan yang berdurasi sekitar 40 saat itu.
Setakat ini, masih tiada nama rasmi berkenaan wakil yang bakal membawa nama Malaysia selain potensi wakil negara berentap dengan nama besar dunia.