Penyerang Sepanyol, Jonathan Viera sah menjadi pemain terbaru memperkuatkan jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perpindahan bekas penyerang Valencia itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan di platform Johor Southern Tigers.
“Penantian sudah berakhir! Jonathan Viera sudah tiba! Selamat datang ke Johor Darul Ta’zim (JDT)!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Viera menjadi pemain kedua menyertai JDT untuk tahun 2025 selepas rakan senegara, Alvaro Gonzalez.
Bekas penyerang Las Palmas itu sebelum ini beraksi untuk kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khor Fakkan sebelum meninggalkan kelab pada September 2024.
Sebelum menyertai JDT, Viera turut dikaitkan dengan perpindahan ke Las Palmas dan kelab China, Beijing Guoan.
Kelibat beliau dan Gonzalez bakal ditagih jurulatih JDT, Hector Bidoglio untuk menghadapi baki dua aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2024/25.
Ini kerana Harimau Selatan memiliki peluang baik untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACLE. JDT ketika ini menduduki tempat keenam Liga Timur ACLE dengan lapan mata.
Harimau Selatan bakal menentang juara Piala AFC 2023/24, Central Coast Mariners untuk aksi ACLE seterusnya pada 11 Februari.