Advertisements
Jordan Berpeluang ‘Bantu’ Malaysia Lonjak Ke Tangga 124 Dunia
Harimau Malaya
MakanBola
Azri/MakanBola

Kehangatan perjuangan Malaysia ke pentas Piala Asia 2023 semakin terasa terutamanya bagi aksi pertama menentang Jordan tatkala Harimau Malaya berpeluang menyambar kedudukan ke-124 dunia.

Skuad kendalian Kim Pan-gon membawa cabaran hebat ke pentas berprestij tersebut setelah kali terakhir layak secara merit kira-kira 43 tahun yang lalu.

Harimau Malaya juga melalui musim yang cukup cemerlang tahun 2023 apabila berjaya menampilkan persembahan konsisten termasuklah ketika membenam Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.

Skuad kebangsaan berjaya melonjak 7 tangga ke kedudukan 130 dunia dengan 1123 mata ketika ini.

Aksi Piala Asia membolehkan Malaysia untuk memperbaiki kedudukan semasa dan melonjak ke dalam kelompok 120 terbaik dunia.

Berdasarkan kiraan mata yang dikeluarkan oleh FIFA, Harimau Malaya berpeluang meraih tambahan +22.31 mata berdepan pasukan ke-87 dunia iaitu Jordan.

Aksi pertama peringkat kumpulan itu juga membolehkan Malaysia untuk melonjak 6 tangga daripada kedudukan semasa untuk berada di tangga 124 dunia dengan 1145 mata.

Malaysia bakal berada di atas negara seperti Zimbabwe (ke-125), Sierra Leone (ke-128) dan Sudan di tangga 129 dunia.

Malaysia akan membuka tirai di Piala Asia bertemu Jordan pada 16 Januari 2024 di Stadium Al Janoub pada jam 1:30 pagi.