Penyerang import Terengganu FC, Jordan Mintah menafikan kenyataan yang dilemparkan oleh ketua jurulatih pasukan, Tomislav Steinbrückner susulan kekalahan kepada KL City semalam.
Aksi separuh akhir itu menyaksikan Terengganu beraksi di halaman sendiri gagal memanfaatkan peluang untuk mencatat kemenangan.
Skuad Peteh ditunjukkan jalan keluar apabila tewas menerusi sepakan penalti setelah perlawanan terikat 0-0 sepanjang 120 minit permainan.
Menerusi satu kenyataan oleh pengendali kelahiran Croatia itu, beliau semenangnya sudah meminta beberapa pemain untuk mengambil sepakan penalti namun ditolak.
“Saya secara peribadi minta Jordan Mintah (ambil penalti), dia tidak mahu. Saya minta Faiz Nasir (ambil penalti), dia tidak mahu.”
“Saya minta Hakimi (Abdullah), dia ada kelebihan sepakan guna kaki kiri, dia pun tak mahu. Anda (wartawan) tahu? Anda berikan saya jawapannya,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
Jordan bagaimanapun tampil memberi penjelasan mengenai situasi sebenar ketika itu.
“Saya merasa sakit ketika itu dan coach Bad (Badrul Afzan) meletakkan saya untuk sepakan yang terakhir,” jelasnya seperti yang diungkap oleh Shoot.
Keputusan tersebut menyaksikan Terengganu tewas dengan keputusan 2-4 menerusi sepakan penalti.