Pertahanan kental pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat melalui detik sukar berdepan Kawasaki Frontale apabila menjadi pemain import terburuk dalam perlawanan tersebut.
Pemain kebangsaan Indonesia ini melalui detik kurang baik dalam beberapa perlawanan termasuklah ketika bersama Sang Garuda di Kelayakan Piala Dunia 2026.
Beliau yang direhatkan berdepan Kuching City tempoh hari membentuk gandingan bersama Feroz Baharudin di bahagian tengah.
Jordi bagaimanapun berdepan asakan hebat daripada gandingan Leandro Damiao dan juga Marcinho yang menyaksikan anak didik Tano Solari tewas besar dengan keputusan 4-0.
Menurut penilaian Sofascore, bekas pertahanan Swansea City ini dinilai paling rendah dalam kalangan pemain JDT selepas hanya menerima penilaian 6.0.

Selain dilayangkan kad kuning, Jordi Amat tewas dua pertarungan bola di udara, hilang posisi sebanyak 5 kali dan melakukan kesalahan sebanyak dua kali.
Beliau juga hanya mencatatkan satu hantaran jauh yang tepat, tidak seperti kebiasaan ketika melakukannya pada beberapa perlawanan sebelum ini.
Jordi bagaimanapun beraksi cemerlang dalam 4 perlawanan awal di Asia termasuklah ketika berdepan Ulsan Hyundai di Stadium Sultan Ibrahim.
Aksi terakhir JDT di ACL adalah menentang BG Pathum di Stadium Sultan Ibrahim pada 12 Disember 2023.