Pengendali baharu pasukan kebangsaan b-23 negara, Juan Torres Garrido memberikan peringatan awal kepada para pemain muda negara berkenaan tempat dalam pasukan menjelang Piala Asia U23 tahun hadapan.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu memgambil alih peranan untuk melatih pasukan muda negara selepas dilepaskan oleh pengendali terdahulu, E. Elavarasan.
Beliau menegaskan bahawa tiada ‘anak emas’ dalam skuad bimbingannya dengan para pemain perlu menunjukkan persaingan terbaik untuk merebut tempat.
Sebelum ini, FAM sudah pun mengumumkan bahawa seramai 24 orang pemain telah pun dipanggil untuk menjalani latihan kebangsaan sebagai persiapan menjelang Piala Asia tahun hadapan.
Juan Torres mahu memastikan bahawa persaingan dan motivasi pemain pada tahap terbaik sebelum ke Qatar.
“Ini kem kebangsaan. Jika ada seorang pemain yang tidak beraksi baik, akan ada pengganti yang lain. Semua pemain yang dipilih perlulah memberi fokus dan menghargai peluang ini untuk memberikan yang terbaik.”
“Pemain perlu bersedia, ada beberapa siri kem latihan. dan pemain harus segera serasi kerana kita berdepan lawan yang hebat,” jelasnya kepada Astro Arena.
Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan menyebut bahawa skuad muda negara berkemungkinan akan ke luar negara sebagai persediaan tahun hadapan.
“Skuad Malaysia B-23 layak ke Piala Asia dengan penuh keajaiban. Pertandingan akan bermula pada April tahun hadapan.”
“Jadi ketua jurulatih (Juan Torres) ada meminta kita untuk beraksi di luar negara bagi persediaan pasukan. Kita sedang mempertimbangkan untuk mengadakan perlawanan di Qatar pada Januari tahun hadapan,” jelas Hamidin kepada media.
Skuad bawah 23 tahun negara itu difahamkan bakal menentang akademi bola sepak di Qatar sebagai persediaan sebelum ke pentas utama Piala Asia B-23 yang juga bakal dilangsungkan di Qatar.