Seorang pendakwah bebas mendedahkan juara badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 15 Tahun (B-15), Putra Assolihin-Dani Syafi sentiasa menjaga bacaan al-Quran dan tidak pernah meninggalkan solat sunat tahajud.
Perkara ini dikongsikan Mohammad Yaakub Yusra menerusi satu hantaran video di Facebook. Yaakub turut melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t atas kejayaan Putra dan Dani sebagai juara acara beregu lelaki MSSM B-15.
“Alhamdulillah. Sangat terharu bila anak-anak ini berjaya dapat johan MSSM walaupun tahun ini kali pertama mereka sertai (kejohanan). Terima kasih sangat-sangat pada jurulatih yang tak kenal erti penat dalam mendidik anak-anak ini.
“Tahniah juga pada Putra dan Dani. Walau sibuk dengan latihan, Al-Quran mereka tetap tak tinggal. Tahajjud penuh seminggu. Allah gantikan dengan kejayaan yang tak sangka.
“Moga teruskan kekalkan kecemerlangan untuk tahun mendatang,” katanya.
Putra-Dani yang mewakili Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK) menewaskan wakil Kuala Lumpur, Muhammad Noor Hanafi-Teoh Liang Hong di peringkat akhir dengan keputusan 21-19, 19-21, 21-12.
Kejayaan mereka dilaporkan turut menarik perhatian bekas jaguh beregu lelaki negara, Tan Boon Heong. Boon Heong dilaporkan mahu mencari mereka untuk memberi hadiah dan penghargaan sebagai motivasi buat kedua-duanya untuk tampil lebih cemerlang selepas ini.