Jurulatih Al-Ahli, Matthias Jaissle percaya Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki dua kualiti yang mampu memberi kesukaran kepada anak buahnya.
Pandangan itu dibuat beliau dalam sidang media praperlawanan suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara kedua-dua pasukan itu.
Jaissle melihat JDT bukan saja kuat dari segi pertahanan. Malah, bekas jurulatih Red Bull Salzburg itu melabel anak buah Xisco Munoz cukup berdisiplin dari segi organisasi permainan.
Jaissle percaya dua kualiti yang dimiliki JDT mampu memberi kesukaran kepada Al-Ahli. Atas sebab itu, beliau mahu anak buahnya mempamerkan aksi terbaik jika mahu mara ke separuh akhir.
“Pemain kami bersedia dari segi mental dan psikologi untuk menghadapi lawan. Kami sedar bahawa mereka mempunyai keupayaan pertahanan yang kuat dan pendekatan berdisiplin dalam permainan.
“Ini menjadikan tahap persaingan antara kedua-dua pasukan sangat tinggi. Kami akan terus fokus menangani aspek-aspek ini sepanjang perlawanan,” katanya.
Al-Ahli akan turun menentang JDT di Stadium Bandaraya Sukan Raja Abdullah, Jeddah pada 17 April ini.