Jurulatih Argentina Label Cape Verde Lawan Liat
MakanBola
FCF

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menganggap lawan mereka di pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia, Cape Verde sebagai liat.

Pandangan Scaloni berdasarkan prestasi semasa anak buah Bubista itu dalam peringkat kumpulan kejohanan berprestij itu. Selain kental ketika bertahan, Cape Verde juga gemar melancarkan serangan balas pantas.

Atas sebab itu, Scaloni mahu anak buahnya menunjukkan prestasi terbaik jika ingin menempah tiket pusingan 16 pasukan terbaik.

“Cape Verde ialah satu pasukan yang masih belum tewas dan ketika menentang Arab Saudi, mereka juga berhak untuk menang.

“Mereka menghalang setiap hantaran (pasukan lawan) dengan baik dan tahu bila masa terbaik melancarkan serangan balas. Mereka satu pasukan yang bagus, kita telah menganalisis mereka sebagai potensi lawan,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Scaloni yang bakal memimpin perlawanan Argentina ke-100 juga tidak mahu melihat potensi kebangkitan Cape Verde semasa perlawanan itu.

Ini kerana dengan melihat trend kebangkitan pasukan lain yang ketinggalan dalam perlawanan, ini menjadikan setiap perlawanan yang dihadapi Argentina sukar tanpa mengira siapa lawan mereka.

“Pasukan yang tewas bangkit semula dan kita perlu ambil kira (kemungkinan itu). Banyak perlawanan berlangsung dengan sengit. (Perlawanan) ini tidak akan menjadi mudah,” tambahnya.

Jika berjaya menewaskan Cape Verde, Argentina akan bertemu sama ada Mesir atau Australia di pusingan seterusnya.