Cape Verde layak ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia selaku naib juara kumpulan meskipun diikat tanpa jaringan dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan H.
Cape Verde sedar mereka perlu menang jika ingin layak ke pusingan seterusnya sebagai juara atau naib juara kumpulan. Ini ditambah dengan keputusan perlawanan Sepanyol dan Uruguay menentukan siapa yang akan bergelar juara, naib juara atau tempat ketiga kumpulan.
Pemain pertahanan Lens, Saud Abdulhamid menerajui benteng Arab Saudi. Penjaga gol veteran, Vozinha menjadi taruhan Bubista untuk mengawal gawang Cape Verde.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan awal. Arab Saudi menggunakan taktik tekanan tinggi dan formasi 4-4-2 untuk menekan Cape Verde.
Meskipun begitu, Cape Verde dilihat banyak menguasai perlawanan tetapi tidak mempunyai sentuhan penyudah yang klinikal.
Arab Saudi kemudiannya terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-33 dengan memasukkan Ali Lajami. Ini selepas Hassan Al-Tambakti tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.
Mohamed Kanno hampir meletakkan Arab Saudi di hadapan pada minit akhir babak pertama. Walau bagaimanapun, Vozinha berjaya menepis tandukan Kanno bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Cape Verde mula meningkatkan asakan bagi memastikan mereka meraih tiga mata penuh.
Jamiro Monteiro hampir memecah kebuntuan buat Cape Verde tidak lama selepas perlawanan disambung. Percubaan pemain PEC Zwolle itu dinafikan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al Owais.
Arab Saudi dan Cape Verde masing-masing membuat pertukaran untuk memecah kebuntuan perlawanan. Arab Saudi membawa masuk Mohammed Abu Al Shamat dan Abdullah Al Hamddan.
Cape Verde pula membawa masuk Helio Varela dan Nuno da Costa untuk memperkemaskan jentera pasukan. Laros Duarte hampir memecah kebuntuan pada minit ke-74 tetapi berjaya disekat Mohammed.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tetapi keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun seri, itu sudah cukup buat Cape Verde mengiringi Sepanyol ke pusingan seterusnya.
Sepanyol layak ke pusingan 32 pasukan terbaik selaku juara kumpulan selepas menewaskan Uruguay dalam satu lagi aksi kumpulan. Keputusan itu juga meranapkan impian Uruguay untuk mara selaku pasukan ketiga terbaik kumpulan.
Sofascore memilih Mohammed dan Ali sebagai pemain terbaik perlawanan. Ini selepas kedua-dua pemain berkongsi markah sama iaitu 7.4.
Cape Verde dijangka berdepan Argentina di pusingan kalah mati. Sepanyol pula menunggu siapa pasukan bergelar naib juara Kumpulan J sebagai lawan di pusingan seterusnya.