Pengendali Buriram United, Mario Silva percaya anak buahnya sedia memberi saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2026/27.
Jurulatih Portugal itu mengakui pasukan yang dibimbing jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz bukan saja satu pasukan yang hebat. Malah, JDT juga memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Meskipun begitu, Silva yang tiba sebagai pengganti Mark Jackson percaya Buriram United mampu meraih keputusan positif di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Saya tahu berdasarkan apa yang saya lihat tentang Johor, mereka pasukan yang kuat dan memiliki pemain individu yang hebat. Mereka tidak mempunyai masalah di liga domestik.
“Tapi saya harap pada hari esok, kita boleh berikan masalah kepada mereka. Kita tahu tentang Johor berada di tahap tinggi, semua kelebihan dan kelemahan. Sudah tentu saya takkan beritahu anda kerana itu tidak bagus.
“Tetapi perkara paling penting melebihi hal ini bagi seorang jurulatih seperti saya ialah pasukan saya. Kita akan mengawal permainan dan kita akan bekerja keras,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
JDT dan Buriram akan berentap di SSI pada 15 September ini. Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan meraih tiga mata pertama dalam saingan ACLE.
Malah, perlawanan ini juga dilihat medan balas dendam buat JDT terhadap Buriram. Kelab Thailand itu bertanggungjawab menyingkirkan JDT di peringkat separuh akhir Shopee Cup pada musim lalu.