Jurulatih Buriram United, Osmar Luis Vieira mengakui kagum dengan kualiti yang dimiliki pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
Saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menyaksikan JDT dibarisi ramai pemain import berkualiti seperti Park Jun-heong, Eddy Israfilov, Jorge Obregon dan Andoni Zubiaurre.
Kehadiran pemain-pemain ini membantu Harimau Selatan menyerlah dalam Liga Timur ACLE. Selepas mengharungi lima perlawanan, JDT mengutip tujuh mata menerusi dua kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan.
Pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi turut menjadi penjaring terbanyak JDT dalam saingan ACLE dengan empat gol setakat ini.
Vieira mengakui kagum dengan kualiti pemain-pemain Harimau Selatan yang dipamerkan di atas padang. Atas sebab itu, beliau mahu Buriram United lebih berwaspada bila berhadapan dengan JDT nanti.
“Sebagai jurulatih, saya dan staf kejurulatihan saya fokus kepada satu pasukan (dan) bukan satu pemain sahaja. Kita semestinya tahu pemain-pemain JDT lebih efisien dan lebih berkualiti.
“Saya tak pernah sebut nama pemain dalam sidang media saya, saya hormati para pemain. Saya hormati bentuk (yang digunakan) pasukan dan kualiti dari segi cara mereka bermain.
“Saya fikir kita perlu berada pada tahap terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang ditinggalkan mereka untuk kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Buriram berharap dapat menjadi pasukan Thailand pertama menewaskan JDT sejak tahun 2018. Rekod itu dilakar Muangthong United dalam aksi kelayakan ACL pada 23 Januari 2018.
Thunder Castle bakal berdepan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Disember. Buriram turun tanpa Sasalak Haiprakhon yang masih menjalani penggantungan selepas dibuang padang pada aksi menentang Yokohama F. Marinos.