Jurulatih Harimau Malaya ‘Kembali’ Ke Thailand
MakanBola
BG Pathum United

Seorang jurulatih Harimau Malaya memanfaatkan peluang mengunjungi kelab lamanya, BG Pathum United sepanjang tempoh pasukan itu berlatih di Thailand.

Jurulatih yang dimaksudkan ialah Matt Smith. Ini selepas pengurusan The Rabbits memuat naik siri foto kunjungan Smith ke kelab berkenaan baru-baru ini.

“Matt Smith kembali melawat Kelab Bola Sepak BG Pathum United dan bertemu dengan barisan kejurulatihan pasukan dalam suasana yang sangat mesra.

“Ketika ini, Matt Smith merupakan sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan di bawah Peter Cklamovski, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, yang kini berada di Thailand untuk latihan di Pusat Latihan Akademi Yamaoka Hanasaka,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Smith bukan asing dengan BG Pathum. Ini kerana beliau bukan saja pernah mewakili BG Pathum ketika aktif sebagai pemain.

Malah, Smith juga pernah memikul tugas sebagai jurulatih dan pengarah teknikal The Rabbits pada musim 2022/23.

Selepas meninggalkan BG Pathum, beliau memikul tugas sebagai penolong jurulatih Macarthur dari 2023 hingga 2025. Setelah itu, Smith menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya pada Mac 2025.