Advertisements
Jurulatih India Anggap Malaysia Lawan Yang Serupa
Asia
MakanBola
IFT/FAM

Jurulatih skuad kebangsaan India, Manolo Marquez melihat pasukan Malaysia merupakan lawan yang kini berdepan misi yang serupa.

India dan Malaysia bakal berentap dalam aksi persahabatan Tier 1 pada Jendela Antarabangsa FIFA bulan November ini dengan kedua-dua negara ketika ini berada dalam keadaan yang sama.

Pasukan India kini berada di ranking ke-125 dunia sementara skuad Harimau Malaya pula ketinggalan lapan anak tangga di kedudukan ke-133 setelah tewas kepada New Zealand pada Oktober lalu.

Kedua-dua negara juga kempunan untuk mara ke Piala Asia 2027 secara automatik setelah menamatkan aksi pusingan Kelayakan Piala Dunia di tempat keempat dan ketiga Jun lalu.

Oleh itu, India terpaksa menempuh Kelayakan Piala Asia yang bakal bermula pada Mac hadapan bersama pasukan negara dengan sesi undian dijadualkan berlangsung pada Disember hadapan.

Menurut Manolo, para pemain akan berkumpul di Hyderabad untuk kali kedua setelah September lalu dan melihat Malaysia sebagai lawan yang serupa seperti India yang berusaha layak ke pentas Asia.

“Kami akan beraksi di Hyderabad sekali lagi untuk berdepan Malaysia, pasukan yang seperti kami, juga dalam perjuangan untuk layak ke Piala Asia,” ujar Manolo dalam satu kenyataan.

Maka, Manolo menganggap pertemuan kedua-dua pasukan di Hyderabad nanti bakal menjadi medan terbaik buat India dan juga Malaysia untuk menguji kekuatan pasukan masing-masing.

“Jadi, perlawanan ini akan menjadi ujian yang baik untuk kedua-dua pasukan, tambah jurulatih kelahiran Sepanyol yang dilantik pada Julai 2024.

Skuad negara kini dalam persiapan untuk menghadapi satu aksi persahabatan bertemu Laos pada 14 November sebelum berdepan India di Stadium Gachibowli empat hari kemudian.