Seorang jurulatih Indonesia dibidas ramai peminat badminton Malaysia kerana mengeluarkan komen yang memperlekeh beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M. Thinaah.
Komen jurulatih bernama Chafidz Yusuf itu dikongsikan seorang peminat badminton bernama Ayuni Ali di Instagram baru-baru ini.
Chafidz bukan saja menuduh beregu negara sebagai penipu. Malah, bekas jurulatih beregu Filipina itu dilihat mentertawakan Pearly apabila bulu tangkis terkena kepalanya.
Komen tersebut dibuat dalam aksi pusingan kedua Malaysia Open antara Pearly-Thinaah dan beregu ke-60 dunia, Febriana Kusuma-Meilysa Puspitasari.

Ayuni menyifatkan komen tersebut tidak sepatutnya dibuat oleh seorang jurulatih profesional seperti Chafidz.
“Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku untuk piawaian yang diharapkan daripada seorang jurulatih.
Dia harus memahami sistem yang sangat asas ini.
“Hakim garisan memanggil ulang-alik masuk atau keluar, pemain boleh mempersoalkannya, dan pengadil membuat keputusan muktamad. Itulah cara sistem berfungsi. Pengadil membuat keputusan akhir.
Jadi bagaimana keadaan ini menjadi kesalahan pemain?
“Menormalisasikan atau bergurau tentang kecederaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Komen sebegitu tidak wajar lebih-lebih lagi datang daripada jurulatih,” katanya.
Koresponden ShuttleHard, Craig Ansibin turut menganggap perkara tersebut tidak wajar. Beliau juga mencadangkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memfailkan aduan berhubung tingkah laku tidak wajar Chafidz.
“Untuk melaporkan salah laku kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), anda harus mengemukakan aduan rasmi secara bertulis kepada Ketua Integriti BWF menerusi alamat emel [email protected], sebaik-baiknya menggunakan borang rasmi Laporan Pemberi Maklumat BWF.
“Adalah lebih baik jika ahli persatuan itu (BAM) memfailkan laporan kerana kesalahan tatakelakuan,” katanya apabila ditanya tentang tindakan yang patut diambil.
Pearly-Thinaah kini mengalihkan fokus kepada saingan India Open untuk memburu gelaran juara pertama tahun 2026.
.