Kadangkala kita dapat melihat jurulatih menerapkan taktikal yang berbeza dalam perlawanan-perlawanan yang dikendalikan. Begitu juga yang terjadi kepada jurulatih Jeobuk Hyundai, Dan Petrescu.
Pada aksi Jeonbuk Hyundai menentang Gwangju FC, Dan Petrescu dikatakan menerapkan taktikal bertahan yang menyaksikan mereka memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0.
Penerapan taktikal bertahan yang digunakan Petrescu itu jelas sekali tidak disenangi pengendali Gwangju FC, Lee Jung-hyo. Jurulatih berusia 48 tahun itu sempat menyindir Petrescu dengan mengatakan jika dia menerima gaji seperti Petrescu, dia tidak akan menggunakan taktikal bertahan.
“Saya dengar dia (Dan Petrescu) dibayar lima kali ganda daripada gaji saya. Jika saya mendapat gaji sebanyak itu, saya tidak akan menggunakan taktikal bertahan seperti itu” jelas Jung-hyo seperti dipetik dari Korea Football News di laman X.
Jeonbuk Hyundai kini menduduki tangga ke-4 Liga K1 Korea Selatan dengan mengumpul 53 mata. Dengan berbaki tiga perlawanan, Jeonbuk mampu mendaki carta sehingga ke kedudukan naib juara. Ini kerana juara liga sudah pun disahkan menjadi milik Ulsan Hyundai yang jauh berada di puncak carta.
Manakala Gwangju FC berada di kedudukan ke-3 liga. Kedua-dua pasukan ini masih bersaing untuk merebut tiga tempat teratas liga bagi mencerahkan peluang mereka beraksi di Liga Juara-Juara AFC musim hadapan.