Jurulatih Kecergasan Selangor Ucap Selamat Tinggal
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih kecergasan Selangor FC, Nicolas Maidana mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu.

Keputusan itu dikongsikan Maidana menerusi satu hantaran di Instagram. Meskipun hanya bersama juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu selama empat bulan, jurulatih Uruguay itu menghargai tempoh bersama Selangor.

“Ribuan terima kasih kepada keluarga Selangor atas pengalaman yang menakjubkan ini. Saya bertemu dan menghabiskan masa dengan ramai orang yang hebat di negara yang menakjubkan ini.

“Terima kasih kepada Kim Pan-gon, Lee Soon-seok dan semua staf teknikal atas masa dan tenaga positif yang anda kongsikan dengan saya,” katanya.

Sejak menyertai Selangor pada Februari lalu, bekas jurulatih kecergasan Panathinaikos itu membantu barisan pemain pasukan itu lebih cergas dan kerap berlari di atas padang.

Ini dilihat antara kunci pasukan itu mara ke final Shopee Cup dan memberi saingan sengit kepada Kuching City FC untuk perebutan naib juara Liga Super.

Maidana dilaporkan akan berkelana ke England untuk menggalas tugas jurulatih kecergasan kelab Liga Kejohanan, Watford.

Wartawan sukan Uruguay, Federico Buysan melaporkan beliau akan menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan baharu yang akan membantu jurulatih Itali, Alessio Dionisi.

Maidana bukan asing dengan pemilik kelab itu, Gino Pozzo. Ini kerana jurulatih Uruguay itu pernah memikul peranan sama dalam kelab Serie A, Udinese di mana kedua-dua kelab dimiliki keluarga Pozzo.