Kedudukan jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo dalam bahaya tatkala pasukan itu menunggu sama ada mereka layak ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia 2026.
The Korea Times melaporkan satu petisyen telah difailkan di laman sesawang rasmi Perhimpunan Negara (dewan perundangan rasmi Korea Selatan) berhubung kedudukan beliau.
Seorang individu yang hanya dikenali sebagai Jeon mengemukakan petisyen yang menggesa Myung-bo dipecat sebagai jurulatih Korea Selatan.
Ini kerana dia mendakwa pelantikan legenda Korea Selatan itu sebagai jurulatih tidak sah dan tidak mengikut proses rasmi Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).
Selain itu, Myung-bo juga didakwa gagal mendorong Korea Selatan mempamerkan persembahan mantap meskipun membawa ramai pemain handalan. Ini termasuk pemain tengah Feyenoord, Hwang In-beom dan kapten, Son Heung-min.
Petisyen tersebut sudah mendapat 100 undi awal untuk semakan awal badan perundangan Korea Selatan itu. Sekiranya ia diluluskan untuk siaran awam, petisyen akan dibuka dalam tempoh 30 hari di laman sesawang rasmi parlimen negara itu.
Jika petisyen telah mendapat sokongan 50,000 orang, petisyen itu akan dirujuk kepada jawatankuasa perundangan untuk semakan.
Korea Selatan menutup kempen Kumpulan A dengan satu kemenangan dan dua kekalahan termasuk tewas di tangan Afrika Selatan.
Mereka kini menunggu sama ada mereka layak ke pusingan seterusnya atau tidak sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan.