Afrika Selatan memastikan tiket pusingan 32 pasukan terbaik Kumpulan A menjadi milik mereka dengan menewaskan Korea Selatan.
Afrika Selatan sedar mereka memerlukan kemenangan jika ingin mengiringi Mexico ke pusingan seterusnya. Misi sama turut menjadi fokus Korea Selatan yang memburu tiket sama.
Penyerang Wolves, Hwang Hee-chan mengetuai jentera serangan Pahlawan Taeguk. Evidence Makgopa menjadi sandaran gol Afrika Selatan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol demi merealisasikan misi mereka itu. Malangnya, jentera serangan yang tumpul menyukarkan kedua-dua pasukan memecah kebuntuan.
Kesukaran Afrika Selatan dan Korea Selatan mencari gol memastikan keputusan seri tanpa jaringan kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo memasukkan kapten dan bekas penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min untuk menambah taji pasukan itu.
Tatkala Korea Selatan berusaha memecah kebuntuan, Afrika Selatan akhirnya meraih gol menerusi penyerang Mamelodi Sundowns, Thapelo Maseko pada minit ke-63.
Afrika Selatan mempertahankan kelebihan satu gol itu sehingga wisel penamat. Itu juga sudah mencukupi untuk Afrika Selatan untuk mengiringi Mexico ke pusingan seterusnya.
Anak buah Myung-bo pula masih berpeluang layak ke pusingan seterusnya selaku pasukan ketiga terbaik kumpulan. Meskipun begitu, mereka perlu menunggu keputusan kumpulan-kumpulan lain untuk penentuan slot berkenaan.
Sofascore memilih Ronween Williams sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9.