Piala Dunia FIFA: Mexico Singkirkan Czechia Penuh Handal
MakanBola
Seleccion Nacionale de Mexico

Mexico menepati ramalan apabila membelasah Czechia untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA.

Kemenangan bertenaga 3-0 sudah cukup untuk tuan rumah muncul sebagai juara kumpulan A dan melangkah ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA tatkala Czechia terpaksa akur tersingkir di peringkat kumpulan dengan satu mata.

Walaupun sudah sah mara selepas mencatat dua kemenangan sebelum ini, Mexico tetap membariskan kesebelasan utama dengan nama-nama handal seperti Julian Quinones, Gilberto Mora dan Edson Alvarez sebagai ketua pasukan.

Sementara, Czechia yang berdepan tekanan pada perlawanan ini membuat rombakan besar-besaran dalam misi bagi mengejutkan pasukan tuan rumah dengan penyerang Bundesliga, Adam Hlozek memimpin jentera serangan.

Tiga gol Mexico disumbangkan oleh Mateo Chavez dan Julian Quinones di awal separuh masa kedua sebelum Alvaro Fidalgo melengkapkan kejayaan cemerlang untuk El Tri di hadapan lebih 40 ribu penonton di laman mereka sendiri.

Mengiringi Mexico di pusingan kalah mati nanti adalah Afrika Selatan yang muncul selaku naib juara kumpulan A setelah menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam satu perlawanan penting bagi menentukan status kedua-dua negara.