Mexico Negara Pertama Ke Pusingan Kalah Mati Piala Dunia FIFA
MakanBola
FIFA World Cup

Negara tuan rumah, Mexico menjadi pasukan pertama yang melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA 2026.

Kejayaan ini dicapai selepas Mexico mencatatkan kemenangan kedua dalam perlawanan peringkat kumpulan A selepas menumbangkan Korea Selatan 1-0 hasil gol tunggal pemain tengah, Luis Romo pada minit ke-50 permainan.

Kemenangan tipis itu sudah memadai bagi meletakkan Mexico di tangga teratas kumpulan A ketika ini dengan mengumpul 6 mata maksimum dan menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, Korea Selatan pula kekal di tangga kedua kumpulan A dan masih memiliki peluang untuk mengikuti langkah Mexico selepas melihat kepada keputusan seri antara Czechia serta Afrika Selatan pada awal pagi tadi.

Aksi terakhir peringkat kumpulan A bakal menyaksikan Czechia berdepan negara tuan rumah, Mexico manakala Afrika Selatan pula akan hadapi cabaran Korea Selatan pada 25 Jun hadapan untuk menentukan tempat ke pusingan kalah mati.

Keputusan seri pada perlawanan terakhir nanti sudah memadai buat Korea Selatan memastikan tiket ke pusingan 32 terbaik manakala tugas mencabar menanti Afrika Selatan dan Czechia yang wajib mengutip 3 mata pada aksi itu nanti.

Sementara di kumpulan B pula, Kanada dan Switzerland semakin hampit mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas berkongsi 4 mata di puncak kumpulan, tatkala Bosnia dan Qatar hanya mengumpul satu mata.