Jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo mengakui melakukan kesilapan susulan kekalahan 1-0 pasukan itu di tangan Afrika Selatan.
Korea Selatan hanya memerlukan keputusan seri untuk mengiringi Mexico layak ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia sebagai naib juara Kumpulan A.
Walau bagaimanapun, harapan tersebut musnah apabila Korea Selatan tewas tipis 1-0 kepada pasukan Afrika itu. Kemenangan itu sudah cukup untuk membawa Afrika Selatan mara selaku naib juara kumpulan.
Myung-bo memikul tanggungjawab atas apa yang berlaku. Ini kerana segala keputusan yang dibuat membawa kepada keputusan mengejutkan itu.
“Di pentas besar seperti ini, ketua jurulatih yang bertanggungjawab untuk semua keputusan. Pada akhirnya saya telah membuat keputusan-keputusan salah yang membawa kepada perkara ini,” katanya seperti dilaporkan The Korea Times.
Myung-bo turut ditanya mengapa pasukan Korea Selatan seakan tidak bermaya dalam mengejar keputusan positif. Ini mendorong sesetengah pengamal media negara itu membuat spekulasi pasukan itu berdepan masalah keracunan makanan.
Perkara itu pantas dinafikan legenda Korea Selatan itu. Pada masa sama, Myung-bo melihat itu bukan alasan untuk menjustifikasikan persembahan yang disifatkan sebagai terburuk dalam eranya.
“Walaupun kita bermain buruk, kita tidak berdepan masalah itu. Dan jika kita berdepan beberapa isu, saya tak nak gunakannya sebagai alasan. Tetapi ini memang perlawanan terburuk (pasukan) di peringkat kumpulan,” tambahnya.
Korea Selatan kini menunggu keputusan kumpulan-kumpulan lain untuk mengetahui sama ada mereka layak ke pusingan seterusnya atau tidak sebagai pasukan ketiga kumpulan terbaik.